SAIFUL NANG (penerbitan)
Saya Bermula Dengan Apa Yang Ada Di Tangan ~ SAIFUL NANG
Fotografi itu mahal. Bagaimana saya mahu mulakan fotografi sedangkan saya ada RM90 sahaja dalam saku. Ibu dan ayah saya bukan orang kaya yang mampu beri pinjaman kepada saya. Tetapi dalam keadaan kita LAPAR mesti ada jalan untuk kita cari makan.
Saya gunakanlah akal untuk mencadangkan isteri kepada bekas pelabur saya yang gilakan fotografi dan partner saya selalu pening kepala dengan kos cuci filem dan beli filem. Maka saya cadangkan untuk beliau beli digital SLR.
Ketika itu saya dah jangka mereka akan ada masalah untuk menggunakannya. Almaklum umur di pertengahan abad. Tawaran saya, beli dan beri pada saya untuk guna 1 bulan supaya saya belajar sesuatu yang baru dan lepas sebulan saya ajarkan cara penggunaan DSLR itu dengan betul.
Beliau setuju.
Sekarang saya ada 1 bulan untuk jadikan kamera pinjam itu sehingga mampu menjadi kamera sendiri. Semua ruang iklan percuma saya manfaatkan termasuk hari-hari letak status mesej Yahoo Messenger dan spam senarai rakan di Yahoo Messenger dengan tawaran pakej fotografi perkahwinan.
Namun tiada satu pun yang minat. Ada yang bertanya pun mesti akan tanya, majlis perkahwinan apa yang pernah saya buat? Saya pun jawab, saya tidak pernah kendalikan mana-mana majlis lagi dan jika beliau mahukan maka beliaulah yang pertama.
Semuanya tidak sudi kecuali seorang pelanggan pertama saya yang bernama Lenny Sunatri bt. Sauji. Individu yang sanggup membayar lebih RM1000 untuk majlis perkahwinannya. Katanya,
“Aku tahu Sitai kalau cakap dia boleh maknanya mesti dia boleh dan tidak mengecewakan”.
Tetapi, majlis perkahwinan yang Lenny tempah pada bulan Ogos 2004 itu adalah untuk majlis pada Disember 2004. Deposit Lenny pun baru RM300, tak cukup nak beli kamera sendiri. Akhirnya, salah seorang dari rakan saya menjemput ke perkahwinan beliau berkonsep taman di Putrajaya.
Saya pun tawarkan perkhidmatan percuma. Tetapi saya nak guna gambar kawan saya ini untuk promosi. Dia setuju dan maaf saya tak dapat berikan nama beliau di sini kerana rumahtangga mereka tidak kekal lama (saya sangat sedih).
Itulah ketika di mana saya mula mengambil foto tanpa mengikut skrip biasa foto-foto perkahwinan tempatan ketika itu. Pendekatan candid dan bersahaja termasuk group photo sekali.
Rezeki Allah Datang Sekelip Mata Tanpa Diduga
Keesokan harinya, sebelum pengantin baru bangkit tidur saya sudah hantarkan promosi ke senarai rakan di Yahoo Messenger untuk mereka lihat http://saifulnang.fotopages.com untuk melihat foto mereka. Entri inilah entri pertama saya dalam fotopage itu dan ia masih wujud sampai sekarang walaupun rumahtangga mereka sudah tidak bertahan lagi.
Sejurus selepas itu, seperti yang saya mahu dan jangkakan. Mereka akan gembira kerana jurugambar rasmi mereka masih perlu ke kedai gambar hantar filem dan cuci gambar lalu scan dahulu baru masuk dalam web. Tapi gambar saya terus dah online.
Apabila gembira, habis semua bulletin board seluruh TM dan YM mereka semua mereka kongsikan link ke fotopage saya. Saya perhatikan trafik pada hari pertama sehingga 1000 pelawat.
Kesannya, dalam 2 minggu sahaja saya sudah berjaya memperolehi 5 orang pelanggan baru. Setelah dikumpul semua deposit mereka dengan nilaian tugasan melebihi RM13,000 ketika itu lalu saya berjaya mendapatkan kamera sendiri.
Semenjak itu, saya tidak menoleh ke belakang lagi sehingga RM90 itu kini berubah menjadi sekumpulan syarikat yang cergas dalam perniagaan-perniagaan yang pelbagai.
Cerita saya tidak sekali-kali akan sama dengan cerita orang lain. Cerita ini sekadar menampakkan yang sebenarnya kita tak perlu cipta alasan untuk berjaya.
Cerita ini saya ceritakan apabila permohonan memasuki ke program Perantis Professional Photographer di Saiful Nang Academy (Rujuk http://on.fb.me/1N39DWf ) sebahagiannya menulis nota keluhan yang mereka tiada kamera, dan tidak berkemampuan dan sebagainya. Saya nasihatkan mereka, jika mereka tahu cerita saya dari awal, nescaya mereka akan malu untuk mengeluh.
RM90 dan kamera pinjam dengan makan nasi berlauk kuah sardin dan tinggal di rumah kolong serta keluarga yang miskin tetapi mampu bangkit jika kita benar-benar mahu bangkit.
Dari Sini Saya Belajar Ilmu Kehidupan Yakni Pengalaman
Dari mana saya belajar semua ini? Inilah pelajaran dari pengalaman.
Sebab itu, saya sangat yakin bahawa itulah jawapan mengapa ramai jurugambar hebat tidak pernah ke universiti untuk belajar fotografi. Di situ juga ada jawapan, mengapa saya rasa pendidikan kemahiran fotografi di Kolej Kemahiran selama 2 tahun itu terlampau lama dan ia boleh diringkaskan.
Kerana saya melaluinya. Semasa saya membelikan kamera digital kepada rakan bisnes saya untuk isterinya, itulah kali pertama saya kenal dan pegang DSLR.
Sebab itu juga saya percaya, dalam kurang 4 bulan sahaja, saya akan mampu ubah perantis saya yang kental dan cekal untuk menghabiskan pengajian mereka, sebagai seorang professional dan usahawan fotografi yang telah bertapak.
Sebab itu juga, saya wujudkan program SIJIL PERANTIS JURUGAMBAR PROFESSIONAL di bawah Saiful Nang Academy.
SAYA YAKIN, SEPERTI SAYA JUGA UNTUK JADI USAHAWAN BERJAYA, PELAJARAN TERBAIK SEBENARNYA ADA DI JALANAN DAN BUKAN DI RAK BUKU PERPUSTAKAAN. ~ SAIFUL NANG
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home